Perkongsian ini adalah berdasarkan pemahaman dan pengetahuan saya mengenai MLM. Sesiapa yang lebih arif, lebih memahami ataupun mempunyai idea yang berlainan, pendapat anda amat di alu-alukan.
Masyarakat kita bila sebut saja pasal MLM, pastikan akan berikan tanggapan yang negatif? Kenapa? Sebab dah banyak yang di dengar dan diberitahu tentang kegagalan orang yang masuk MLM. Tapi kenapa orang gagal, tak mungkin tak ada orang yang berjaya. Kalau tak kenapa orang asyik menyogok yang MLM ni boleh bagi kesenangan. Mesti ada sebab dan jawapannya kan.
Pertama sekali kita tengok apa maksud MLM.
MLM adalah singkatan kepada Multi Level Marketing ataupun Network Marketing iaitu satu sistem pemasaran berperingkat ataupun sistem jualan langsung. In adalah satu sistem yang digunakan oleh sesuatu syarikat untuk memasarkan produk mereka.
Satu kajian menunjukkan 98% orang yang menyertai MLM gagal. Maksudnya hanya 2% saja yang berjaya. Biar betulll....
Kenapa terlalu ramai yang gagal??? Walaupun hanya 2%, masih ada yang berjaya. Bermaksud MLM boleh membuatkan orang berjaya. Apa yang orang berjaya buat yang orang gagal tak buat. Itu yang patut kita fikirkan.
Kalau betul la MLM ni tak bagus, kenapa ada beratus-ratus mungkin beribu-ribu syarikat seluruh dunia menggunakan sistem MLM?
Kenapa beribu-ribu orang sertai MLM?
Kenapa orang sanggup keluarkan duit beribu-ribu malahan puluhan ribu sampai ada yang sanggup meminjam sana-sini dan buat pinjaman bank?
Tak pelik ke? Mesti 'something wrong somewhere'.
Bagi saya, ada beberapa faktor yang membawa kepada kegagalan dan saya akan cuba kupaskan satu persatu.
1. PEMILIHAN SYARIKAT YANG BETUL.
Di Malaysia terdapat antara 700 hingga 1,000 syarikat MLM yang menawarkan pelbagai jenis produk. Mungkin lebih, mungkin kurang. Bagaimana pun, macam mana kita nak tentukan dan pilihan syarikat mana yang betul-betul mempunyai potensi dan yang patut kita pilih untuk kita berjaya. Ada beberapa ciri yang patut kita periksa sebelum buat pilihan;
PERTAMA :
Adakah syarikat itu berdaftar dengan Direct Selling Association of Malaysia (DSAM)
Di Malaysia terdapat satu badan yang memantau syarikat-syarikat yang menjalankan perniagaan yang menggunakan sistem jualan langsung atau MLM. Hanya 69 syarikat sahaja yang berdaftar di bawah DSAM dan mempunyai kelulusan untuk menjalankan perniagaan menggunakan sistem tersebut. Jadi, mana yang lain???
Boleh semak syarikat yang berdaftar di link ini. - http://www.dsam.org.my/members-list
Syarikat yang tidak berdaftar dengan DSAM mempunyai risiko bila-bila masa saja dibekukan ataupun ditutup dan sudah tentu kita tak nak terperangkap dalam situasi macam tu kan.
KEDUA :
Latar belakang syarikat
Perkara kedua yang kita patut periksa adalah latar belakang syarikat tersebut.
- Bilakah ia ditubuhkan
- Di mana ia ditubuhkan
- Berapa besar syarikat tersebut
- Kehadiran syarikat tersebut di negara lain seluruh dunia
- Berapa lama berada di pasaran
- Ranking di pasaran
- Kekuatan kewangan syarikat
- Adakah ia pengeluar/pengilang atau orang tengah
Faktor ini akan menetukan sama ada syarikat itu terjamin untuk kita mencapai kejayaan. Sesebuah syarikat MLM MESTI ditubuhkan dan berada di pasaran melebihi 30 tahun. Biasanya, untuk 10 tahun pertama adalah proses untuk mengukuhkan syarikat tersebut. 10 tahun yang kedua adalah untuk menilai keberkesanan dan kualiti produk yang ditawarkan manakala 10 tahun ketiga adalah untuk memastikan yang pelan pemasaran syarikat tersebut adalah berkesan dan boleh diterima pakai.
Kekuatan syarikat dari segi kewangan dan kehadirannya di negara akan membuatkan kita lebih yakin dan tahu sama ada syarikat itu adalah satu syarikat yang besar atau tak. Sudah pasti kita nak pulangan yang tinggi kan, tapi kalau syarikat tu kecik, macam mana nak dapat.
Jadi, pastikan periksa latar belakang syarikat sebelum buat keputusan untuk menyertai mana-mana syarikat MLM. Syarikat yang tidak betul kukuh bila-bila masa saja boleh tutup.
Jika sesuatu syarikat tersebut bukan pengilang atau pengeluar, tetapi mengambil sesuatu produk dari mana-mana kilang/pengeluar, produk itu dilabel dan dipek atas nama syarikat mereka, maka mereka adalah ORANG TENGAH. Mesti faham, sebelum produk sampai kepada anda untuk dikongsi kepada orang sekeliling anda, orang tengah ini telah mengambil separuh dari keuntungan yang anda patut dapat sekiranya produk itu boleh dapat terus dari kilang, secara tak langsung, harga produk itu akan menjadi mahal ataupun margin keuntungan anda menjadi kecil. Jadi, periksa dengan teliti.
2. PRODUK YANG DITAWARKAN.
Pastikan jangan 'join' mana-mana syarikat yang tak ada produk. Itu adalah 'money game' ataupun skim cepat kaya.
Produk yang ditawarkan mestilah berkualiti. Kalau produk pemakanan, periksa kandungan produk tersebut. Adakah ia halal di makan. Adakah ia mempunyai tanda halal. Jika produk kesihatan, adakah ia mempunyai kelulusan dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Untuk semak pendaftaran produk dengan KKM, sila klik link ini. http://www.pharmacy.gov.my/v2/ms/maklumat/semakan-pendaftaran-produk.html
Harga produk merupakan satu faktor yang penting yang akan menentukan orang akan berminat untuk membeli atau tidak produk tersebut. Jika harga produk itu mampu milik, mempunyai kualiti yang baik dan dapat menyelesaikan masalah mereka, mereka tidak akan teragak-agak untuk membeli.
3. PELAN PEMASARAN SYARIKAT
Pelan pemasaran adalah faktor yang akan menentukan cara untuk kita menjana pendapatan dan bagaimana kuatnya strategi syarikat tersebut dalam memberi pulangan kepada ahlinya. Upline atau orang atasan yang memperkenalkan syarikat tersebut patut menerangkan dengan jelas pelan pemasaran syarikat kepada orang bawahan. Jika tidak jelas dengan pelan pemasaran, hala tuju akan menjadi kabur. Anda tidak akan tahu apa yang patut anda buat untuk mencapai apa yang anda impikan.
Boleh dikatakan semua syarikat MLM menggunakan sistem pairing. Contohnya, seorang kena buka 2 down line atau istilah MLM sebagai kaki. Jika kedua-dua kaki hidup, upline akan dapat bonus. Kalau tak, tak ada bonus. Sebelah kaki gajah, sebelah kaki zirafah, tak ada la bonus. Bagi saya, mana mungkin kita boleh mendapatkan atau membina 2 empayar yang mempunyai satu kualiti yang sama. Sedangkan cop jari kita kiri dan kanan pun tak sama, macam mana kita nk kawal kedua-dua empayar supaya buat prestasi atau jualan yang sama. Ini pun antara punca kegagalan dalam sistem pemasaran MLM.
Tapi, ada ke syarikat MLM yang tak guna sistem pairing ni. Mungkin ada, buat kajian lagi.
4. SIFAT DIRI SENDIRI
Ini adalah punca utama kenapa orang gagal. Bukan saja dlm MLM, tapi dalam apa saja yang kita buat, sifat kita menentukan sama ada kita berjaya atau tak. Saya pasti semua bersetuju dengan saya.
Pada saya, dalam MLM konsepnya cukup mudah. ANDA BUAT ANDA DAPAT. Betul tak?
Dalam dunia ni, NO EASY MONEY. Itu yang saya pegang. Duit tak kan datang bergolek kalau kita tak usaha. Orang yang kaya dan berjaya sekarang tak mencapai semua tu dengan mudah dan sekelip mata. Banyak masa, usaha dan kegagalan yang akan ditempuhi sebelum nak berjaya. Itu belum masuk pengaruh luaran yang negatif lagi.
Kita lebih banyak memberi alasan daripada penyelesaian. Lebih banyak mengelak atau bertangguh daripada bertindak. Inilah sifat orang kita. Penghalang utama untuk kita berjaya bukanlah faktor luaran tetapi berada dalam diri kita sendiri. Itu musuh kita yang paling utama, tapi bukanlah mudah untuk kita runtuhkan tembok penghalang dalam diri, bukan mudah nak kalahkan musuh. Tapiiiii... orang berjaya boleh buat kan.
Jadi, kalau kita nak berjaya, kena jadi macam orang berjaya la, belajar apa yang orang berjaya buat, ikut apa yang orang berjaya buat, Insha Allah kita akan terpaksa berjaya. Cari seseorang yang boleh dijadikan mentor dan belajar rahsia kejayaan mereka.
Ada yang join MLM, buat separuh jalan, berhenti. Sebabnya ter'makan racun' orang-orang sekeliling. Sudahnya tumbang. Tapi kalau azam dalam diri kuat, tekad tu kuat dia akan tempuh semua benda tu. Tapi berapa ramai yg boleh pekakkan telinga dan terus buat sampai berjaya.
Apa yang penting, setiap orang yang sertai MLM mesti ada matlamat dan sebab tersendiri tetapi berapa kuatkah keazaman untuk capai matlamat tersebut. Hanya orang yang betul-betul rasa perlu berubah demi capai matlamat yang akan berjaya, selebihnya akan menyerah kalah lebih awal dan berhenti. Golongan inilah adalah golongan yang gagal dan menjadikan MLM itu satu persepsi yang negatif kepada orang lain.
Mesti kenal dengan orang-orang di atas ni kan. Kalau betul Network Marketing atau Multi Level Marketing ni tak bagus, kenapa mereka meletakkannya sebagai satu pilihan untuk mereka berjaya. Fikir-fikirkan...
Ini pula berdasarkan statistik. Tak dapat cari yang baru tapi rasanya ini dah cukup.
"Pada tahun 2002 , nilai jualan syarikat jualan langsung adalah RM 2 Bilion. Pada tahun 2008 pula angka jualan meningkat kepada 4.3 Bilion dan pada tahun 2011 pula angka jualan meningkat lagi kepada 8.5 Bilion. Untuk tahun 2012 pula , KPDNKK mensasarkan industri MLM bakal menyumbang RM 10 Bilion kepada pendapatan ekonomi negara.
Melihat kepada statistik ini , Industri jualan langsung negara disasarkan meningkat sebanyak enam hingga 12 peratus setahun sekali gus memberi sumbangan besar terhadap Pendapatan Negara Kasar selari dengan pertumbuhan ekonomi negara sehingga 2020."
Sumber informasi:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/UnjurRM10b/Article/index_html
KESIMPULAN
Kalau kita teliti tengan betul semua faktor-faktor di atas, kat mana buruknya MLM melainkan kalau syarikat atau produk mahupun pelan pemasaran tu sendiri yang tak OK lah. Terletak kepada kita untuk membuat pemilihan yang bijak. Pastikan buat sedikit kajian sebelum menyertai mana-mana perniagaan berasaskan sistem MLM dan pastikan syarikat tu betul-betul terkenal, besar dan ada masa depan yang cerah.
Selebihnya terletak pada diri sendiri macam mana nak mencorak perniagaan tu. Bila dah masuk mana-mana perniagaan MLM, dah macam jadi bos untuk perniagaan sendiri. Jatuh bangun perniagaan tu adalah tanggung jawab sendiri.
Sekali lagi saya tegaskan, apa yang saya tulis ni adalah sekadar pemahaman dan sedikit pengetahuan yang saya ada. Kalau ada yang lebih arif dan pakar dalam sistem MLM ni dan punyai pendapat yang berlainan, boleh kongsi di ruang komen. Bukan nk nak mencari salah tapi nak mencari pengetahuan supaya ramai orang kat luar sana tak salah langkah.
No comments:
Post a Comment